............Keperluan membentuk kesedaran dalam kalangan para pengguna demi memantapkan ekonomi negara adalah satu agenda yang berkepentingan tinggi dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan suatu aliran “Pengguna Perkasa”. Jika pada suatu masa dahulu, penjual, pembekal atau pun pengilang boleh bertindak menaikkan harga sesuatu barangan di pasaran terutamanya apabila menjelang sesuatu musim perayaan mengikut suka hati mereka, hari ini dengan kesedaran dalam kalangan pengguna khususnya bahawa kekuatan sebenarnya berada dalam tangan pengguna sendiri, keadaan-keadaan seperti ini telah semakin berkurangan. Kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini, jika tidak dibendung dengan berkesan akhirnya akan membahayakan ekonomi negara dan akibatnya masyarakat juga yang akan menanggung rugi.
............Jika  pengguna terasa ditipu dengan sesuatu produk, maka pengguna boleh  bertindak memboikot barangan berkenaan. Tindakan ini akhirnya akan  memberi kesan kewangan negatif kepada syarikat pembuat barangan  berkenaan, dan ini akan memberi kesedaran kepada mereka tentang “kuasa  pengguna”. Kesedaran dan keprihatinan ini perlu datang daripada para  pengguna sendiri. Contohnya apabila kita membeli tepung sekampit yang  ditulis berat bersihnya 1 kilogram, adalah wajar bagi kita menimbang  semula kampit tepung berkenaan dan memastikan bahawa berat bersih produk  berkenaan adalah benar-benar 1 kilogram. Sebagai pengguna prihatin,  kita juga perlu mengambil tahu dengan lebih teliti tentang barangan yang  kita beli. Apakah ramuannya? Adakah bahan pewarna yang digunakan  menepati syarat-syarat kesihatan pengguna seperti yang telah di tetapkan  oleh kerajaan? Adakah produk berkenaan mengandungi MSG? Adakah produk  itu benar-benar berstatus halal? Adakah harga jualannya menepati harga  yang telah ditetapkan oleh kerajaan? Ketika membeli belah, berapa  ramaikah yang akan membelek-belek dan membaca setiap satu pek atau tin  barangan yang hendak dibeli dan membuat perbandingan harga setiap produk  yang dibeli? Isu-isu sebeginilah yang perlu menjadi perhatian para  pengguna hari ini.
............Fenomena  kenaikan harga barangan keperluan ini bukanlah suatu masalah yang cuma  berlaku di Malaysia sahaja, malahan telah menjadi suatu permasalahan  global hari ini. Pada Oktober 2007, rakyat Itali telah memboikot  keluarangan barang-barang “pasta” apabila harga makanan ini naik  melebihi 20 peratus dalam masa seminggu. Hasil daripada tindakan ini  pengeluar “Pasta” terpaksa akur kepada sentimen “kuasa pengguna” Itali,  dan menurunkan semula kadar harga barangan berkenaan. Mekanisma penyebab  pada kenaikan harga barangan sememangnya berhubung rapat antara satu  sama lain. Contohnya di Mexico, apabila permintaan meningkat untuk  minyak bio-diesel yang dipanggil “Ethanol” yang dihasilkan daripada  jagung, maka harga jagung di pasaran terus melambung dan ini menyebabkan  timbulnya masalah bekalan jagung kepada penternak lembu tenusu yang  juga memerlukan jagung sebagai makanan utama untuk haiwan ternakan  mereka. Ekoran ini harga susu, keju, dan mentega pula turut naik di  pasaran Mexico. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pertanian  dan Pemakanan Sedunia yang beribu pejabat di Brussels, harga pasaran  makanan sedunia pada hari ini naik sebanyak 70 peratus berbanding dengan  harga pada tahun 2000. Jadi sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu  bertindak dengan menggunakan "kuasa pembeli" mereka.
............Hakikatnya  pada hari ini, dengan meningkatnya taraf hidup bagi penduduk-penduduk  di negara-negara membangun dunia yang besar seperti China dan India,  maka permintaan dunia untuk barangan seperti gandum, beras, minyak masak  dan bahan-bahan keperluan asas kehidupan yang lain akan terus juga  meningkat. Faktor lonjakan harga minyak dunia juga bererti bahawa kos  dalam proses pembuatan serta penghantaran akan terus meningkat dan ini  akan menyumbang pada peningkatan harga barangan di pasaran. Faktor cuaca  juga memainkan peranan yang penting bagi sektor penanaman sedunia.  Permintaan bahan mentah seperti jagung, gandum dan lain-lain lagi untuk  diproseskan menjadi bio-fuel atau ethanol adalah juga merupakan faktor  penyumbang kepada kestabilan harga barangan pasaran.
............Manusia  memerlukan tiga perkara asas untuk kehidupan iaitu makanan, pakaian dan  tempat tinggal. Akibat krisis bekalan makanan yang gagal dikawal, akan  membawa kepada kemelut kenaikan harga bekalan makanan di pasaran dan ini  akan akhirnya menyebabkan berlakunya inflasi pada ekonomi sesebuah  negara. Oleh itu, pemantauan dan usaha berterusan perlu diperhebatkan  lagi dalam usaha untuk menangani apa-apa jua krisis bersangkutan yang  berkemungkinan akan timbul pada masa depan. Kita sebagai pengguna yang  bijak adalah agen pemerhati harga barangan di pasaran yang paling  efektif untuk membantu pihak kerajaan memantau pergerakan harga-harga  pasaran. Selain itu, akta undang-undang perlindungan pengguna yang  membawa kepada hukuman yang lebih drastik mestilah terus digubal demi  untuk perlindungan jangka panjang kepada pengguna.
............Kementerian  yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menjaga hal ehwal  pengguna ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal  Pengguna. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kementerian  terbabit demi memastikan kebajikan pengguna benar-benar terjamin. Antara  langkah-langkah berikut adalah dengan menubuhkan Stok Penimbal  Kebangsaan serta Penubuhan Majlis Harga Negara. Kerajaan juga turut  mengenakan larangan membawa keluar barangan kawalan dari Malaysia serta  memberi pengetahuan dan kefahaman kepada pengguna tentang hak-hak mereka  melalui penggubalan rang undang-undang “Akta Perlindungan Pengguna  1999” dan penubuhan Mahkamah Tribunal Pengguna. Pada masa yang sama,  kerajaan juga menggerakkan sektor pertanian negara secara aggresif  sebagai langkah membangunkan Sarawak sebagai “Negeri Jelapang Padi Kedua  Negara”.
............Tindakan-tindakan  ini telah berjaya mengawal kestabilan harga barangan di pasaran dan  juga dengan bantuan padu beberapa agensi berwajib yang lain, telah dapat  mengurangkan kadar aktiviti penyeludupan bahan makanan ke negara jiran.  Hasil daripada pemantauan berterusan dan beberapa lagi langkah susulan  proaktif kerajaan, kebajikan dan kesejahteraan kita sebagai pengguna  telah dapat dimantapkan lagi. Dengan terlaksananya perubahan-perubahan  kritikal ini, telah dapat membantu untuk memangkinkan lagi ekonomi  negara. Justeru marilah kita sebagai pengguna bersama-sama memupuk  kesedaran tentang hak-hak kita, langsung menjalankan tanggungjawab  sosial kita dan juga memartabatkan diri kita sebagai “Pengguna Bestari”. 
dibuat oleh Sobehah Hussain. 
 
 
No comments:
Post a Comment