Thursday 21 April 2011

GEJALA PONTENG SEKOLAH

Gejala ponteng sekolah sering kali dikaitkan dengan faktor pengaruh daripada rakan sebaya. Rakan sebaya sememangnya mempunyai pengaruh yang kuat sesama mereka. Hal tersebut berlaku kerana mereka sentiasa berkongsi masalah dan pengalaman yang sama. Justeru, rakan sebaya yang tidak baik sentiasa menanamkan pengaruh yang destruktif. Pengaruh tersebut termasuklah tindakan melanggar disiplin seperti gejala ponteng sekolah yang semakin meruncing kini. Sikap tersebut samalah dengan tempelak peribahasa, “harapkan sokong, sokong membawa rebah”.

Dalam isu ini, ibu bapa patut dipersalahkan juga. Kebanyakan ibu bapa mengambil jalan mudah dengan membiarkan anak-anak ke sekolah secara bersendirian. Tidak dinafikan bahawa anak-anak yang baik dan berminat untuk belajar pasti tidak menyeleweng ke tempat lain. Sebaliknya, anak-anak yang kurang gemar belajar sentiasa mencari helah untuk menyimpang ke destinasi lain walaupun pada zahirnya mereka keluar untuk ke sekolah. Dalam situasi persekitaran yang serba terbuka, para pelajar begitu mudah untuk memonteng. Mereka boleh melepak di pusat beli-belah, bermain snuker, dan berkaraoke. Segala-galanya mudah bagi mereka apabila kebebasan diberikan seluas-luasnya oleh ibu bapa.

Bebanan kerja yang tidak menang tangan menyebabkan para guru di sekolah sentiasa berlepas tangan terhadap gejala ponteng. Selain bebanan tugas, tekanan yang melampau daripada masyarakat menyebabkan para guru “hilang selera” untuk mengambil tahu perihal disiplin pelajar. Kebanyakan guru berpendapat, daripada mereka dibebani dengan pelbagai tekanan daripada ibu bapa kerana mengambil tindakan disiplin, lebih baik mereka mengajar sahaja. Akhirnya, perihal disiplin diserahkan sahaja kepada waris atau sekurang-kurangnya kepada pentadbir sekolah. Sikap saling menjuding jari itu akhirnya membawa kemusnahan kepada masa depan para pelajar.

Walau bagaimanapun, seburuk-buruk tingkah laku pelajar, mereka diibaratkan “sebusuk-busuk daging, dibasuh dikincah dimakan jua”. Segala perilaku mereka sama ada baik atau buruk perlu ditangani dengan sebaik-baiknya. Semua pihak sama ada ibu bapa atau para guru malah masyarakat perlu bahu-membahu untuk menangani gejala yang boleh menjadi duri dalam daging kepada kejayaan Wawasan 2020 nanti




From : Nurul Syazwina

No comments:

Post a Comment