Tuesday 26 April 2011



Kebelakangan ini, kawasan sekolah sering dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melesapkan barangan berharga milik pihak kerajaan. Selain itu, berlaku juga peristiwa guru diserang oleh pelajar yang bermasalah. Situasi kurang sihat ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak tentang tahap keselamatan pelajar dan guru di sekolah. Oleh yang demikian, pelbagai pihak menyuarakan cadangan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup di sekolah.
Banyak faedahnya jika CCTV dipasang di sekolah terutamanya di tempat-tempat yang strategik dengan menyediakan pemantauan yang berterusan. CCTV yang dipasang di pagar sekolah akan menghalang tabiat pelajar yang suka ponteng kelas atau pulang lebih awal. Hal ini demikian kerana pihak sekolah dapat mengesan gejala yang kurang sihat dan mengawal tahap disiplin para pelajar. Pemasangan CCTV di dalam kelas pula membantu pengetua memantau proses pengajaran dan pembelajaran sama ada berlaku secara efektif atau sebaliknya.
Bagi sekolah yang indeks jenayahnya tinggi, pemasangan CCTV adalah perlu agar kadar jenayah menurun selain dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat. Walaupun sesetengah sekolah ada ditempatkan pengawal keselamatan, tetapi jumlahnya tidak berpadanan dengan keluasan sekolah. Hal ini akan membuka ruang kepada penjenayah untuk mencuba nasib. Dengan pemasangan CCTV ini, pengawal keselamatan dapat menghidu jejak penjenayah dengan lebih cepat. Pihak berkuasa pula akan dapat merujuki kejadian jenayah melalui rakaman pita video yang dirakam oleh sistem tersebut. Justeru itu, pemasangan CCTV merupakan langkah terbaik bagi mengelakkan kerugian jutaan ringgit.
Di samping itu, ahli jawatankuasa disiplin sekolah dapat juga memantau kegiatan para pelajar. Maklumat daripada CCTV ini akan dihubungkan terus ke sistem e-disiplin iaitu sistem pengurusan masalah disiplin pelajar secara berkesan dan sistematik berasaskan teknologi web. Cetakan surat amaran serta kemas kini rekod merit kesalahan pelajar dibuat secara automatik oleh sistem berkenaan. Jika seorang pelajar melakukan kesalahan, merit pelajar itu akan berkurang, sekali gus memberi kesan kepada rating disiplin sekolah yang terbabit. Ternyata pemasangan CCTV amat efektif kerana wujud kesedaran dalam diri pelajar supaya berkelakuan baik bagi memastikan sijil tamat persekolahan mereka dicatat sebagai bersahsiah cemerlang.
Rumusannya, pemasangan CCTV di sekolah sangat relevan dengan era kecanggihan teknologi. Hal ini demikian kerana banyak masalah disiplin di kalangan pelajar dan kes kehilangan barang milik sekolah didedahkan kepada pihak media massa. Pemasangan CCTV merupakan salah satu usaha untuk mengelakkan kemudaratan lebih besar. Justeru itu, pihak sekolah perlu mengambil tindakan yang proaktif bagi membendung permasalahan ini.


maghfirah

No comments:

Post a Comment